Pages

Labels

Wednesday, December 19, 2007

KECERDASAN EMOSI: SATU PENGENALAN



Pengenalan
Perasaan dan emosi seperti tangisan, sedih, takut dan gelak ketawa mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan personaliti serta menggerakkan arah kehidupan seseorang manusia. Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Maka untuk itu, emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang.



Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi46. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal dilihat sebagai individu manusia yang mengalami situasi yang pelbagai dan berkehendakkan reaksi bagi melahirkan emosi yang juga berbeza.


Kecerdasan intelektual (IQ) lazimnya membolehkan seseorang belajar di universiti atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang memiliki IQ yang tinggi akan sejahtera dalam hidup Kemahiran mengawal dan menggunakan emosi (EQ) secara bijak sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup seseorang. Sejak Goleman menerbitkan bukunya yang berjudul “The Emotional Intelligence”, ramai pengkaji mula menunjukkan minat terhadap penyelidikan di bidang yang baru ini. Para pengkaji cuba memahami bagaimana kecerdasan emosi dapat bergabung tenaga dengan kecerdasan akal bagi menentukan kejayaan dan keharmonian sesebuah kehidupan manusia.


Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi, maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan intelektual yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.


Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini 48. Antara aspek kecerdasan emosi yang semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia kini adalah seperti berikut:-



Empati iaitu memahami orang lain secara mendalam
Mengungkapkan dan memahami perasaan
Mengendalikan amarah
Kemandirian iaitu berdiri dengan sendiri atau berdikari
Kemampuan untuk menyesuaikan diri
Disukai oleh orang lain
Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara mereka yang berada di sekeliling
Semangat setiakawan
Keramahan
Sikap hormat-menghormati



Kecerdasan emosi bermula sejak kecil dan dengan itu, ibu bapa memiliki peranan terpenting dalam membina kecerdasan emosi anak-anak.
Mereka harus mengajar, mendidik serta membimbing anak-anak tentang kecerdasan emosi dengan memberikan contoh teladan yang baik. Bagi membolehkan anak-anak memiliki kecerdasan emosi yang tinggi ibu bapa seharusnya mengajar dan menerapkan dalam diri anak-anak beberapa aspek seperti berikut:-



Membina hubungan persahabatan yang baik dan harmonis
Bekerja dalam kumpulan secara harmonis
Berbicara dan mendengarkan secara efektif
Mencapai prestasi yang lebih tinggi sesuai dengan aturan yang ada (jujur)
Mengatasi masalah dengan teman yang nakal
Berempati antara satu sama lain
Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara peribadi ketekunan
Mengatasi konflik
Membangkitkan rasa humor atau jenaka
Memotivasikan diri apabila menghadapi saat-saat yang sulit dan genting
Menghadapi situasi yang sulit dengan percaya kepada diri sendiri
Menjalin keakraban



Jika dilihat di dalam konteks pendidikan di Malaysia, penyelidikan dan kajian tentang kecerdasan emosi masih kurang dilakukan. Pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia dilaksanakan secara tidak langsung dan ia tidak dijadikan sebagai satu subjek atau perkara yang khas (Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia 1983).



Pada kebiasaannya, beberapa andaian wujud di mana kemahiran-kemahiran sedemikian diperoleh oleh para pelajar melalui kurikulum terselindung yang disampaikan oleh guru-guru secara tidak langsung. Namun, terdapat beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang dijadikan subjek utama bagi memenuhi perkembangan yang berkesan pelajar-pelajar di Malaysia.



Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian ini akan sentiasa berterusan, faktor emosi perlulah dikawal dan dijaga sentiasa. Kecerdasan emosi pelbagai etnik hendaklah sentiasa diberi penekanan dan dikawal dari kecil lagi. Begitu juga perbezaan antara gender iaitu lelaki dan perempuan.



Menurut Patricks dan Furnham pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam kemahiran sosial. Namun, ia berbeza dengan pertimbangan jangkaan diri atau self-estimated di mana pelajar lelaki memiliki pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. Walau bagaimanapun, hasil kajian ini berbeza dengan yang diperoleh daripada Kyung Hee. Pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam tiga faktor kecerdasan emosi iaitu empati, penggunaan emosi dan perhubungan sesama rakan sebaya.



Menurut Curtis pula, apabila emosi diajar dan ditekankan dengan pembelajaran yang berkaitan dengan kecerdasan emosi melalui kaedah rawatan, perubahan yang lebih baik dari keadaan sebelumnya berlaku dalam diri pelajar-pelajar. Perubahan berlaku walaupun pelajar-pelajar berada di dalam tiga kelas yang berbeza iaitu kelas Pengajian Sosial/English Moden, kelas Psikologi dan kelas sukarelawan pelajar pintar. Menurut Curtis lagi, kelas bimbingan diadakan dan hasilnya wujud peningkatan dalam pengurusan emosi.



Ciri-Ciri Yang Membentuk Kecerdasan Emosi
Salovey dan Mayer mengatakan bahawa kecerdasan emosi mengumpulkan kecerdasan interpersonal dan kecerdasan intrapersonal Gardner yang boleh dikategorikan kepada lima perkara iaitu kesedaran diri, pengurusan emosi, motivasi diri, empati dan mengendalikan hubungan.



Kesedaran diri merupakan satu pemerhatian terhadap diri dan mengakui suatu perasaan sebagai satu kejadian. Pengurusan emosi pula merupakan satu pengendalian perasaan di mana ia boleh disesuaikan, menyedari sesuatu perkara di sebalik emosi, menemui cara mengendalikan perasaan bimbang dan takut, perasaan marah dan juga sedih.



Motivasi diri pula merupakan satu penyaluran perasaan ke arah satu matlamat, mengawal emosi kendiri, melewatkan ganjaran dan menyekat dorongan. Empati pula merupakan satu perasaan atau kemampuan untuk menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Sementara mengendalikan hubungan pula adalah satu pengurusan perasaan, kecekapan dan kemahiran sosial.
Menurut Mayer dan Salovey pula, kecerdasan emosi adalah sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kebolehan untuk mengawasi diri sendiri dan juga orang lain serta boleh membezakan diri dengan orang lain. Ia juga menggunakan maklumat untuk membimbing ke arah satu pemikiran dan juga tindakan.
Menurut Young, istilah kecerdasan emosi didefinisikan sebagai kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau dan membuat diskriminasi di antara emosi sendiri dan emosi orang lain, di samping memanfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan seseorang itu.



Menurut Goleman pula, kecerdasan emosi secara spesifiknya, terdiri daripada empat konstruk penting. Konstruk-konstruk itu adalah kawalan diri, motivasi/kesedaran diri, pengurusan emosi dan kemahiran sosial. Konstruk yang pertama adalah kawalan diri. Ia merujuk kepada kemahiran mengawal tindakan dan perasaan sebelum melakukan sesuatu perkara. Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain



Konstruk yang kedua pula adalah motivasi/kesedaran diri. Ia merujuk kepada usaha dan daya ketahanan seseorang untuk mencapai matlamat hidup. Konstruk yang seterusnya adalah pengurusan emosi. Pengurusan emosi merujuk kepada kemahiran menguruskan perasaan dan pembentukan konsep atau menyanjung diri. Konstruk yang terakhir adalah kemahiran sosial. Ia merujuk kepada kemahiran menjalinkan perhubungan atau persahabatan dengan orang lain seperti kemahiran komunikasi dan kemahiran berunding. Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain.



Sementara individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang rendah pula akan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan akibatnya dan mempunyai matlamat hidup yang kurang jelas. Selain itu juga, individu tersebut kurang mahir mengurus perasaan negatif serta kurang mahir dalam menjalinkan persahabatan dengan orang lain.Secara keseluruhannya, kecerdasan emosi menekankan tentang ciri sahsiah yang dimiliki oleh seseorang individu itu. Kemahiran sosial dan emosi adalah lebih penting dalam kejayaan hidup daripada kebolehan intelektual semata-mata.



Bagaimanapun, setakat ini tidak ada ujian yang tepat bagi mengukur kecerdasan emosi seperti yang dilaksanakan untuk menguji dan mengukur kecerdasan intelektual. Menurut Elaine de Beauport, terdapat tiga belas darjah kecerdasan. Tiga belas darjah kecerdasan ini dirangkumkan kepada tiga teori susunan otak (the tribune brain theory) iaitu neokorteks, sistem limbik dan reptilian kompleks yang mempunyai darjah kecerdasan yang berbeza di antara satu sama lain.



Darjah kecerdasan mengikut susunan otak neokorteks terdiri daripada empat bahagian. Bahagian yang pertama, rasional yang merupakan kebolehan untuk melihat sebab dan akibat, proses urutan deduksi, proses membuat rumusan dan kesimpulan. Bahagian kedua adalah hubungan dan pertalian. Ia merupakan satu kebolehan melihat secara rambang, meluaskan maklumat melalui pertalian rambang secara keseluruhan dan melihat hubungan antara maklumat dan bahan. Bahagian ketiga pula, visual atau imaginal yang merupakan satu kebolehan untuk melihat secara bayangan dan penggambaran. Sementara bahagian keempat adalah intituisional yang merupakan satu kebolehan untuk mengetahui dari pengalaman secara langsung dengan tidak menggunakan sebab.



Bagi darjah kecerdasan dari susunan otak limbik pula, ia terbahagi kepada enam bahagian. Bahagian pertama adalah afeksi. Ia merupakan kebolehan seseorang individu menghayati dan mengembangkan perasaan kejiranan dengan seseorang individu, tempat, benda mahupun idea.
Bahagian kedua pula adalah motivasi. Ia merupakan satu kebolehan yang menghampiri kemahuan atau kehendak seseorang individu dan mengetahui apa yang perlu dihampiri dan apa yang mahu diusahakan atau digerakkan untuk bertindak terhadap sesuatu perkara. Bahagian seterusnya adalah rasa hati. Ia merupakan satu kebolehan mencipta pelbagai suasana hati dan menukarkannya kepada suasana yang lain seperti suka-duka, cinta-benci, marah-sayang dan sebagainya. Bahagian keempat adalah mulut. Ia merupakan satu kebolehan menyedari dan memandu getaran yang berkaitan dengan kawasan oral iaitu kawasan mulut.



Bahagian kelima pula adalah rongga hidung yang merupakan satu kebolehan menyedari dan memandu getaran yang berkaitan dengan kawasan nasal iaitu kawasan hidung. Bahagian terakhir adalah dorongan keseksualan. Dorongan keseksualan merupakan satu kebolehan menyedari untuk menerima dan menunjukkan getaran yang boleh melahirkan tarikan. Bagi darjah kecerdasan dari susunan otak reptillia kompleks pula, ia terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian yang pertama, asas. Bahagian ini merupakan satu kebolehan untuk melawan dan melari, meniru dan menghalang idea yang beralinan dan bertindak. Bahagian kedua pula adalah Rutin. Rutin adalah satu kebolehan mengenal, mencipta dan mengekalkan ulangan-ulangan irama (rhythm). Dan bahagian terakhir yang ada dalam susunan otak reptillia kompleks ini adalah kelaziman. Kelaziman merupakan satu kebolehan mengenal, mencipta dan mengekalkan irama yang ditimbulkan oleh seni, muzik, drama, pemikiran dan tindakan.



Apa yang telah dirumuskan semenjak tahun 1983 oleh Pengarah Penyelidikan Kognitif Universiti Harvard, Dr Howard Gardner, terdapat tujuh jenis darjah kecerdasan. Darjah kecerdasan yang pertama adalah darjah kecerdasan linguistik. Ia merupakan satu kebolehan menggunakan bahasa, makna perkataan dan hubungan antara perkataan atau dengan kata lainnya ia merupakan satu kebolehan mempelajari pelbagai bahasa. Darjah kecerdasan yang kedua pula adalah darjah kecerdasan spatial yang merupakan satu kebolehan mencipta benda di alam ini dan kemudiannya melahirkan semula gambaran tersebut di dalam minda.



Darjah kecerdasan yang seterusnya adalah darjah kecerdasan muzik atau irama. Darjah kecerdasan muzik atau irama ini merupakan satu kebolehan mengenalpasti irama, intonasi dan seni suara. Darjah kecerdasan yang keempat adalah darjah kecerdasan kinestetik. Darjah kecerdasan kinestetik adalah satu kebolehan menggunakan fizikal badan dan kemudiannya mencipta semula perlakuan perasaan fizikal. Darjah kecerdasan yang kelima pula adalah darjah kecerdasan logik matematik. Darjah kecerdasan logik-matematik adalah satu kebolehan melakukan penakulan atau mencari sebab-musabab sesuatu perkara. Darjah kecerdasan yang keenam adalah darjah kecerdasan interpersonal. Darjah kecerdasan interpersonal merupakan satu kebolehan seseorang individu itu berinteraksi, memahami kemahuan, motivasi, perasaan, fikiran dan perlakuan seseorang yang lain. Darjah kecerdasan yang terakhir adalah darjah kecerdasan intrapersonal. Darjah kecerdasan intrapersonal ini merupakan satu kebolehan seseorang individu itu memahami kemahuan, matlamat dan perasaan diri sendiri.



Daripada kajian yang telah dijalankan oleh Beauport dan Gardner inilah ciri-ciri penting dalam kecerdasan emosi di mana darjah kecerdasan dalam otak limbik yang disarankan oleh Beauport serta darjah kecerdasan interpersonal dan intrapersonal yang dikenalpasti oleh Gardner digabungkan.

Kajian Lepas
Secara umumnya, kajian-kajian tentang kecerdasan emosi banyak dijalankan di negara-negara Barat. Di Malaysia, kajian kecerdasan emosi masih kurang dijalankan.
Meyer, Caruso dan Salovey juga telah membina satu alat ujian kecerdasan emosi yang dikenali sebagai “Multifactor Emotional Intelligence Scale (MEIS)”. Alat ujian ini mengandungi 12 alat yang telah diklasifikasikan kepada empat kumpulan iaitu persepsi, asimilasi, persefahaman dan pengurusan emosi. Untuk menguji kesahan alat ujian ini, mereka telah membuat kajian terhadap 503 orang dewasa dan 229 orang remaja.
Daripada kajian yang telah dijalankan, didapati terdapat tiga faktor penting dalam analisis MEIS ini iaitu terdapat hubungan yang tinggi dalam persepsi, persefahaman dan pengurusan emosi serta faktor umum seperti empati, pengendalian hubungan, motivasi diri, kesedaran kendiri dan pengurusan emosi di dalam kecerdasan emosi.
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara faktor umum kecerdasan emosi dengan ukuran verbal kecerdasan emosi serta ukuran self-reported empathy. Kajian ini mendapati wujudnya hubungan yang tinggi di antara persefahaman dengan kecerdasan verbal diikuti dengan pengurusan emosi dan persepsi. Kajian ini juga mendapati bahawa kecerdasan emosi orang dewasa adalah lebih tinggi daripada remaja.
Schutte dan rakan-rakan telah membina satu alat ujian sendiri tentang kecerdasan emosi. Alat ujian yang dibina ini adalah berasaskan kepada alat ujian yang dibina oleh Salovey dan Meyer. Alat ini mengandungi 33 item self-reported yang mengukur hubungan yang penting dalam lapan teoritikal konstruk termasuklah kesedaran emosi, pandangan tentang kehidupan, tekanan perasaan, keupayaan untuk mengatur emosi dan sebagainya.
Kurikulum sekolah yang berfokuskan pembelajaran sosial dan emosi juga memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan kecerdasan emosi
Namun begitu, kajian dalam domain kecerdasan emosi ini sebenarnya masih kurang. Akan tetapi, terdapat beberapa kajian lain yang berkaitan dengan emosi seperti kajian yang dijalankan oleh Hawkins dan rakan-rakan menunjukkan bahawa kurikulum sekolah yang berfokuskan pembelajaran sosial dan emosi juga memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan kecerdasan emosi.
Seterusnya, Salovey dan Meyer telah membuat kajian secara berperingkat-peringkat terhadap subjek yang terdiri daripada responden terikat dan responden bebas. Secara keseluruhannya, kajian ini telah memperkenalkan satu teori yang mengaitkan kecerdasan emosi dengan faktor personaliti seperti personaliti mesra dan aktif.
Kajian terakhir yang boleh dikaitkan dengan kecerdasan emosi adalah satu kajian yang dijalankan oleh Liew Phaik Guat Selina, Gan Teck Hock dan Sia Pong Won63 yang menjalankan kajian ke atas pelajar tahun 5 seramai 416 orang di kawasan Miri, Sarawak. Kajian ini mendapati bahawa terdapat perbezaan tahap kecerdasan emosi di antara pelajar lelaki dan perempuan.
Selain itu juga, kajian menunjukkan bahawa pelajar telah menunjukkan trend yang positif dalam komponen motivasi dan kesedaran diri. Dari segi pengurusan emosi pula, kebanyakan pelajar berada di tahap sederhana dan kurang memuaskan. Bagi komponen sosial pula menunjukkan bahawa sejumlah 41.6% terletak di bawah tahap kecerdasan emosi yang memuaskan. Manakala bagi komponen kawalan diri pula, pengkaji mendapati bahawa pelajar berada di tahap kecerdasan emosi yang memuaskan.
Menurut Brody dan Hall, anak-anak perempuan membesar lebih cepat jika dibandingkan dengan anak-anak lelaki. Anak-anak perempuan dikatakan lebih cepat terdedah dengan pengalaman beremosi dan ia akan berjaya melahirkan emosi dan perasaan. Selain itu, anak-anak perempuan dididik dengan cara yang berbeza dengan anak-anak lelaki. Peluang yang banyak dalam memperincikan emosi diberikan kepada anak-anak perempuan dan tidak kepada anak-anak lelaki.
Kajian yang dijalankan oleh Liew Phaik Guat Selina, Gan Teck Hock dan Sia Pong Won ke atas pelajar tahun lima di kawasan Miri, Sarawak pula memperlihatkan bahawa kecerdasan emosi daripada komponen kawalan diri pelajar di tahap kecerdasan emosi yang memuaskan tetapi tidak dinyatakan perbezaan antara pelajar lelaki dan perempuan.
Kajian Kyung Hee pula memperlihatkan bahawa dalam tiga faktor kecerdasan emosi iaitu empati, penggunaan emosi dan saling berkaitan atau perlu memerlukan antara rakan sebaya, pelajar perempuan mempunyai skor kecerdasan emosi yang tinggi berbanding pelajar lelaki. Pelajar perempuan memperlihatkan kesedaran yang lebih tinggi tentang diri dan perasaan terhadap orang lain berbanding pelajar lelaki.
Schutte, Malouff, Hall, Haggerty, Cooper dan Golden pula telah menjalankan kajian ke atas 346 subjek lelaki dan perempuan dengan menggunakan alat ukuran kecerdasan emosi berdasarkan model yang dibina oleh Salovey dan Mayer. Namun, sekali lagi subjek perempuan dilihat memperolehi pencapaian kecerdasan emosi daripada komponen pengurusan emosi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan subjek lelaki.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Patricks dan Furnham, pelajar perempuan dilihat mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam kemahiran sosial. Perkara ini boleh dikaitkan dengan keadaan di mana pelajar perempuan dilihat lebih cepat matang dan berupaya dalam menjalin hubungan sosial jika dibandingkan dengan pelajar lelaki yang lambat matang.
Menurut Curtis, apabila emosi ditekankan atau diajar dengan pembelajaran yang berkaitan dengan kecerdasan emosi melalui kaedah rawatan, perubahan yang lebih baik dari keadaan sebelumnya berlaku dalam diri pelajar-pelajar. Perubahan berlaku walaupun pelajar-pelajar berada di dalam tiga kelas yang berbeza iaitu kelas Pengajian Sosial/English Moden, kelas Psikologi dan kelas sukarelawan pelajar pintar. Menurut Curtis lagi, kelas bimbingan diadakan dan hasilnya wujud peningkatan dalam pengurusan emosi.
Jika dilihat pula dalam konteks negara Malaysia, pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah dilaksanakan secara tidak langsung dan tidak dijadikan satu subjek yang khas. Dalam masyarakat Malaysia, kejayaan seseorang pelajar biasanya diukur berpandukan bilangan gred A yang diperoleh dalam peperiksaan.
Dalam masyarakat Malaysia, kejayaan seseorang pelajar biasanya diukur berpandukan bilangan gred A yang diperoleh dalam peperiksaan. Kesan yang diperoleh adalah sistem persekolahan di Malaysia pernah dikatakan sebagai sistem yang terlalu menekankan peperiksaan serta bergantung kepada sijil-sijil peperiksaan awam
Kesan yang diperoleh adalah sistem persekolahan di Malaysia pernah dikatakan sebagai sistem yang terlalu menekankan peperiksaan serta bergantung kepada sijil-sijil peperiksaan awam71. Oleh kerana Curtis mengkaji tahap kecerdasan emosi berdasarkan kelas, pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia dilaksanakan secara tidak langsung dan pergantungan kepada keputusan peperiksaan awam.

Kecerdasan Emosi: Kebakaan Atau Persekitaran
Kecerdasan emosi yang tinggi di kalangan remaja pelajar sebenarnya berkait rapat dengan kecerdasan intelektual mereka. Remaja pelajar yang tinggi kecerdasan emosinya, kebanyakannya memperlihatkan prestasi akademik yang tinggi dan memuaskan. Namun begitu, persoalan yang timbul dalam melihat tahap kecerdasan emosi remaja pelajar ini adalah apakah faktor yang mempengaruhi perkembangan kecerdasan emosi. Adakah ia berasal daripada faktor kebakaan atau berasal daripada faktor persekitaran.
Jika dilihat kepada faktor kebakaan, anak-anak yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan, berasal daripada baka atau dikaitkan dengan ibu bapa yang mempunyai kecerdasan emosi pada aras yang sama juga. Kecerdasan emosi yang ada pada individu remaja itu memang sedia ada dalam diri individu remaja itu sejak lahir lagi. Ibu bapa yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang baik akan melahirkan anak yang sedemikian juga.
Bagaimanapun, penulis berpendapat faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam tahap kecerdasan emosi seseorang individu remaja. Apa sahaja yang berlaku di persekitaran, mampu mempengaruhi seseorang individu untuk bertindak mengikut keadaan yang berlaku di sekitarnya. Maka, dalam konteks ini, ibu bapa dan guru serta rakan sebaya memainkan peranan penting dalam memberi didikan dan membawa perubahan kecerdasan emosi diri remaja tersebut.
Kajian lepas menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya bagi remaja lelaki, terdapat hubungan yang signifikan di antara takat perkembangan emosi dengan takat perkembangan emosi ibu bapa72. Ada juga kajian lain menunjukkan bahawa paras perkembangan emosi ibu mempengaruhi fungsi tahap emosinya sekurang-kurangnya satu tahap lebih tinggi.
Dalam masyarakat Malaysia, kejayaan seseorang pelajar biasanya diukur berpandukan bilangan gred A yang diperoleh dalam peperiksaan. Kesan yang diperoleh adalah sistem persekolahan di Malaysia pernah dikatakan sebagai sistem yang terlalu menekankan peperiksaan serta bergantung kepada sijil-sijil peperiksaan awam
Oleh itu, modeling tahap emosi yang lebih tinggi boleh meninggikan perkembangan emosi anak. Menurut Parikh73 pula, ibubapa yang menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan perbincangan isu-isu secara terbuka dan demokratik boleh meninggikan perkembangan emosi. Begitu juga, ibubapa yang menggunakan teknik induktif dalam disiplin.
Konsep rumahku syurgaku dan sekolah penyayang amat penting dalam meningkatkan kecerdasan emosi anak-anak. “Melentur buluh hendaklah dari rebungnya” perlulah dijadikan pedoman oleh ibubapa dan para pendidik74. Semakin awal kemahiran kecerdasan emosi yang diberikan kepada anak-anak adalah semakin baik dan berkesan. Anak-anak yang diberikan kemahiran emosi akan kelihatan riang, lebih berkeyakinan dan lebih berjaya dan cemerlang di sekolah. Kecerdasan emosi yang diberikan latihan dan diamalkan boleh menjadi tabiat dan kebiasaan dalam kehidupan anak-anak.
Kehidupan dalam keluarga merupakan sekolah awal untuk mempelajari emosi. Perkara-perkara seperti bagaimana anak-anak itu merasa tentang diri mereka, bagaimana orang lain memberikan tindak balas terhadap tingkah laku mereka, bagaimana pula mereka memikirkan perasaan itu, apakah pilihan-pilihan yang perlu dibuat, bagaimana mengeluarkan perasaan yang mengharapkan sesuatu dan bagaimana menghindarkan diri dari rasa takut, tertekan dan sebagainya.
Terdapat beberapa gaya keibubapaan yang boleh mengganggu kecerdasan emosi anak-anak. Pertama, ibubapa yang tidak mempedulikan atau menghiraukan emosi anak-anak75. Ibu bapa yang sebegini beranggapan bahawa gangguan emosi anak-anak merupakan perkara biasa. Mereka tidak pernah menyediakan ruang masa mahupun peluang dalam membantu anak-anak mengatasi gangguan emosi tersebut.
Kedua, ibu bapa yang terlalu memberikan kebebasan kepada anak-anak tanpa sebarang kawalan. Ibu bapa yang sedemikian rupa akan membiarkan sahaja anak-anak mereka membuat sesuatu perkara tanpa had dan hala tujuan tertentu. Namun, apabila anak-anak mereka ini telah melampaui batas dan terlalu mengikut dorongan nafsu serta agresif, barulah ibu bapa tersebut mengambil tindakan yang agak keras.
Gaya keibubapaan yang boleh mengganggu kecerdasan emosi anak-anak yang terakhir adalah ibu bapa yang selalu merendah-rendah, memperkecil dan seterusnya menghina perasaan anak-anak. Ibu bapa seperti ini selalunya akan bertindak kasar dan keterlaluan dalam memberikan kritikan dan dendaan. Ibu bapa ini akan mendera anak-anaknya dengan cara yang agak kejam hingga menyebabkan anak-anak tertekan dan mengalami gangguan perasaan atau sakit jiwa.
Gaya keibubapaan yang diutarakan di atas bukan sahaja boleh merendahkan kecerdasan emosi tetapi juga boleh menyebabkan anak-anak mengalami masalah mental. Menurut Robert Post76, hasil kajian telah mendapati bahawa tekanan, deraan dan dadah boleh menimbulkan sel lembaga atau “gent” yang dipanggil “C-fos”. Lembaga C-fos ini akan mengempil kepada sel otak. Ia juga boleh menyebabkan berlakunya kerosakan sel sesaraf dan rangkaian otak. Ia juga boleh menyebabkan berlakunya “short-circuit” dalam rangkaian otak dan jiwa anak-anak akan tertekan yang boleh menyebabkan anak-anak mengalami masalah mental.
Terdapat juga ibu bapa yang bersikap sederhana, tidak terlalu berkeras dan tidak terlalu lembut serta sentiasa mencari peluang membimbing anak-anak memahami perasaan dan emosi. Ibu bapa seperti inilah mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan bakal membina kecerdasan emosi yang tinggi di dalam anak-anak mereka juga.
Dalam mendidik anak-anak, mereka cuba memahami apa yang dirasakan oleh anak-anak mereka. Bantuan dengan cara yang positif bagi melegakan perasaan anak-anak yang beremosi. Memahami konsep penghargaan diri, motivasi diri, penglahiran hasrat diri dan keyakinan diri adalah bimbingan yang perlu dari ibu bapa terhadap anak-anak.
Selain itu, ibu bapa ini juga akan membimbing anak-anak untuk menguasai kemahiran yang spesifik seperti kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah, kemahiran interpersonal dan intrapersonal serta komunikasi berkesan. Ibu bapa ini akan membantu anak-anak agar tahu mengawal fungsi otak dan cara mengubah biokimia emosi.
Bagaimanapun, jika kita memperhatikan keputusan-keputusan yang diambil oleh kebanyakan individu dalam kehidupan seharian mereka, ternyata keputusan-keputusan yang dibuat dan diambil adalah lebih banyak ditentukan oleh emosi berbanding akal yang waras. Maka kita dapat lihat di sini, emosi sangat mempengaruhi kehidupan seseorang individu manusia ketika mana dia ingin membuat keputusan. Amat jarang sekali, seseorang individu itu mengambil sebarang keputusan berdasarkan pemikiran yang rasional. Sebaliknya, mereka lebih mengambil sesuatu keputusan tersebut berdasarkan emosi.
Kecerdasan emosi merupakan satu kemahiran yang melibatkan individu itu mengawal atau mengawasi diri sendiri dan juga individu lain dalam menghadapi sebarang permasalahan serta boleh membezakan sesuatu keadaan diri sendiri dan juga keadaan individu lain atau dengan kata lain, kemampuan seseorang individu itu mengendalikan emosi dan menahan diri dari melakukan sesuatu perkara yang negatif atau yang mendatangkan keburukan sama ada untuk diri sendiri juga orang lain.
Jika dikaitkan dengan Islam, kecerdasan emosi atau kemam-puan seseorang individu me-ngendalikan emosi dan menahan diri disebut sebagai sabar. Orang yang paling sabar adalah mereka yang paling tinggi dalam kecerdasan emosinya
Jika dikaitkan dengan Islam, kecerdasan emosi atau kemampuan seseorang individu mengendalikan emosi dan menahan diri disebut sebagai sabar. Orang yang paling sabar adalah mereka yang paling tinggi dalam kecerdasan emosinya. Individu ini biasanya tabah dalam menghadapi kesulitan, tekun dalam membuat sesuatu perkara dan berlapang dada dalam menghadapi pelbagai cobaan. Kesulitan dan cobaan tidak mengganggu emosinya.
Pendidikan akhlak dalam Islam merangkumi nilai-nilai murni seperti nilai moral, etika, adab, tingkah laku, sifat-sifat luaran dan dalaman serta perangai. Untuk ketahanan diri, ibu bapa perlulah memberi penekanan ilmu tauhid kepada anak-anak. Anak-anak tanpa didikan tauhid, ibadah dan akhlak yang mulia adalah tidak lengkap. Cerita-cerita yang boleh dijadikan contoh dan model kehidupan boleh digunakan dalam mendidik anak-anak.

Cara Membina dan Mengawal Emosi Agar Sentiasa Cerdas
Kehidupan di kawasan bandar sebenarnya menjadi salah satu sebab berubahnya kehidupan seseorang individu remaja. Mereka lebih terdedah kepada kehidupan yang penuh sosial dan terbuka serta memperolehi sesuatu perkara atau maklumat lebih cepat jika dibandingkan dengan para remaja yang berada di luar bandar.
Untuk itu, setiap individu itu perlu diajar dan dibimbing cara-cara mengawal perasaan marah, kurang sabar dan agresif dengan menggunakan cara yang positif. Di antara cara-cara mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana, kita semua boleh mencuba beberapa perkara seperti mengenal emosi diri sendiri, mengurus emosi diri sendiri, mengenali emosi orang lain, memotivasikan emosi yang negatif dan mengendalikan perhubungan melalui komunikasi.
Salah satu cara mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah mengenal emosi diri sendiri. Seseorang individu itu perlulah cuba mengenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut. Dengan kata lain, fikiran boleh menyebabkan wujudnya satu perasaan dan setelah wujudnya perasaan, maka timbullah keinginan untuk diperlakukan melalui perbuatan atau perlakuan.
Salah satu cara mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah mengenal emosi diri sendiri. Seseorang individu itu perlulah cuba mengenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut
Cara lain mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah mengurus emosi diri sendiri. Dalam konteks ini, seseorang individu itu perlulah pandai mengambil peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi itu datang tanpa diundang tetapi diri sendiri yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri dan apakah ia mendatangkan positif atau negatif.
Cara yang seterusnya adalah mengenali emosi orang lain. Dalam konteks ini pula, seseorang individu itu perlu mengenali perasaan diri sendiri dahulu, kemudiannya barulah cuba untuk mengenali, memasuki dan menjelajahi emosi individu yang lain pula atau dengan kata lain empati. Cara ini perlu bagi mengelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila ada individu lain yang mahu mencurahkan emosi mereka.
Cara yang keempat dalam mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah memotivasikan emosi yang negatif. Dalam konteks ini pula, seseorang individu itu perlulah menjadikan emosi yang negatif itu sebagai satu alat untuk meningkatkan keupayaan dalam berfikir, merancang dan menyelesaikan sebarang masalah. Emosi yang negatif sebagai pemangkin kepada perubahan emosi yang positif.
Cara yang terakhir adalah mengendalikan perhubungan melalui komunikasi. Setelah mengenali emosi orang lain dan berjaya serta berupaya mengurus diri sendiri, maka perhubungan yang positif dan keakraban dapat dibentuk dan diwujudkan. Perhubungan dan keakraban ini boleh diwujudkan dengan lebih baik lagi melalui komunikasi dan ia boleh mengekspresikan pemikiran secara aktif tanpa diwarnai dengan kemarahan.
Melalui beberapa perkara yang diterangkan di atas, ia boleh digunakan untuk mengawal emosi agar stabil dan sederhana, beberapa unit organisasi yang terlibat perlu membantu seseorang individu. Di antara unit organisasi yang perlu membantu adalah seperti ibu bapa dan sistem pendidikan di Malaysia.
Ibu bapa merupakan agen yang utama dalam perkembangan dan pendidikan anak-anak. Remaja yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan adalah berasal daripada keluarga yang mempunyai ibu bapa yang juga mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan.
Dalam hal ini, ibu bapa yang arif dan berpengalaman dalam banyak perkara perlulah menjadi mentor iaitu pembimbing atau penasihat serta jurulatih kepada anak-anak mereka pada setiap peringkat umur dan keadaan. Mereka iaitu ibu bapa bolehlah menggunakan peristiwa-peristiwa emosi dalam kehidupan anak-anak seperti marah, suka, duka, geram, irihati, takut, murung dan sebagainya dengan menjelas dan menyatakan bahawa emosi-emosi sedemikian merupakan situasi yang normal. Tetapi ia perlu diseimbangkan mengikut kesesuaian dan tidak menjejaskan diri dan individu yang lainnya.
Cara lain yang boleh digunakan oleh ibu bapa dalam mening-katkan kecerdasan emosi anak-anak yang berada di usia remaja adalah meminta maaf sekiranya ibu bapa bersalah sekalipun kesalahan itu kecil pada tanggapan diri ibu bapa tersebut
Selain itu juga, ibu bapa perlulah menjelaskan kepada anak-anak tentang cara bagaimana membaca bahasa badan dan memahami perasaan diri dan individu yang lain iaitu yang dikenali sebagai empati.
Ibu bapa juga boleh memberikan kepada anak-anak yang remaja satu atau dua pekerjaan yang membolehkan mereka menyelesaikannya dengan baik. Cara ini perlulah dimulai dari kecil dan amat penting pada usia remaja. Jika mereka boleh berdikari, mereka harus memiliki nilai-nilai yang kuat yang ibu bapa tanamkan sebaik mungkin. Ibu bapa seharusnya memerhati dan kemudiannya menegur sekiranya perkara yang dilakukan terkeluar dari landasan yang sepatutnya.
Cara lain yang boleh digunakan oleh ibu bapa dalam meningkatkan kecerdasan emosi anak-anak yang berada di usia remaja adalah meminta maaf sekiranya ibu bapa bersalah sekalipun kesalahan itu kecil pada tanggapan diri ibu bapa tersebut. Meminta maaf atas kesalahan yang ibu bapa lakukan menunjukkan kepada anak-anak remaja bahawa ibu bapa tersebut menghormati mereka sebagai seorang yang dewasa. Ibu bapa tersebut dapat mengurangkan perasaan takut terhadap sikap yang kurang serta ia boleh mencegah wujudnya sifat kebencian antara ibu bapa dan anak-anak.
Dalam sistem pendidikan di Malaysia pula, terdapat dua elemen yang boleh membantu pelajar-pelajar ini mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan. Dua elemen ini adalah pendidik atau guru dan sekolah.
Bagi elemen yang pertama dalam sistem pendidikan Malaysia, program-program seperti Sekolah Penyayang, Kem Motivasi dan sepertimana yang telah sedia ada di kebanyakan sekolah merupakan antara program yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran kecerdasan emosi yang boleh dan telah lama diwujudkan oleh pihak sekolah.
Selain daripada itu, subjek-subjek seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Kemahiran Hidup, Ekonomi Rumah Tangga dan beberapa subjek lain merupakan subjek-subjek yang boleh menerapkan nilai-nilai dan situasi kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan.
Intervensi boleh dilaksanakan di peringkat awal bagi meningkatkan lagi kecerdasan emosi seseorang individu itu. Intervensi adalah campurtangan dalam urusan antara satu pihak dengan satu pihak yang lain. Untuk itu, elemen yang kedua iaitu pendidik, tidaklah perlu menunggu sehingga wujudnya kes disiplin yang mana kemudiannya pelajar tersebut dikehendaki berjumpa dengan guru disiplin atau guru kaunselor untuk dibimbing atau dipulihkan.
Hukuman merupakan satu tindakan yang perlu dielakkan oleh para pendidik kerana pada asasnya hukuman dari pendidik atau guru terhadap pelajar tidak mampu mengembangkan emosi secara wajar. Akibat buruk di masa-masa akan datang adalah pelajar-pelajar ini tidak boleh berdikari, kurang berinisiatif, kurang kepercayaan diri bahkan cenderung menjadi seorang yang pemalu dan penakut.
Para pendidik perlulah menyelitkan pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum dan ko-kurikulam di sekolah. Sebagai contohnya, sesi suaikenal pada hari pertama persekolahan, menggalakkan para pelajar berkenal-kenalan dan memastikan para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Sama seperti ibu bapa, para pendidik boleh menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam dan di luar kelas untuk memupuk kemahiran-kemahiran kecerdasan emosi.
Peristiwa-peristiwa seperti penyingkiran, kurang motivasi, tidak ada persetujuan antara dua pihak, pertengkaran, tindakan agresif dan sebagainya adalah antara contoh-contoh realistik yang negatif yang boleh digunakan untuk mengajar kecerdasan emosi. Kesedaran melalui tayangan video dan kaedah main peranan boleh diguna dan diamalkan oleh para pendidik dalam memberi kesedaran tentang kecerdasan emosi terhadap pelajar-pelajar.
Kecerdasan emosi perlu diajar dan diterapkan kepada semua individu pelajar bagi mengelakkan dari berlakunya kes-kes negatif yang boleh mengganggu perkembangan kecerdasan emosi. Ini kerana mengelak atau menghindari kes-kes negatif tadi adalah lebih baik dari mengubatinya. Kecerdasan emosi merupakan elemen yang penting dan perlu bagi menjalani dan menghadapi kehidupan pada masa-masa akan datang walaupun tanpa kehadiran ibu bapa, keluarga mahupun para pendidik.
Hasil daripada bimbingan dan didikan akan kecerdasan emosi tadi oleh ibu bapa dan para pendidik, beberapa manfaat akan diperolehi oleh seseorang individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan. Di antaranya adalah:-
Memiliki tolak ansur atau toleransi terhadap kekecewaan.
Mampu mengungkapkan kemarahan tanpa wujudnya pertengkaran.
Tidak menjadi agresif.
Mempunyai perasaan positif terhadap diri sendiri, ibubapa dan keluarga serta individu lain yang berada di sekeliling.
Mengurangi ekspresi verbal yang boleh menjatuhkan orang lain.
Meningkatkan kemampuan perhubungan dengan individu lain.
Untuk itu, para pendidik perlulah sedar dan sentiasa meningkatkan layanan dan hubungan antara pelajar kerana ia boleh membantu perkembangan dan pertumbuhan kecerdasan emosi pelajar, mengatasi perebutan pengaruh di sekolah dan meningkatkan kemampuan serta keterampilan diri antara pelajar dan para pendidik yang lain.Secara keseluruhannya, terdapat beberapa ciri atau karekteristik individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dan memuaskan. Di antaranya adalah:-
Seseorang individu itu mampu memotivasi diri, bebas dan percaya akan diri sendiri.
Seseorang individu yang mampu dan boleh mengawal dorongan dan menunda sesuatu perasaan yang negatif.
Seseorang individi itu boleh memulakan, menekuni dan menyelesaikan tugas.
Individu yang tidak menangguhkan kerja dan dia mengetahui bilakah sesuatu perkara itu perlu dilakukan.
Individu yang mampu menterjemah, mentafsirkan atau melahirkan pemikiran menjadi satu tindakan yang efektif dan bersesuaian dengan sesuatu keadaan.
Seseorang individu yang mengetahui dan mampu menggunakan kemampuannya.
Individu yang tidak takut untuk menanggung risiko serta boleh menerima kritikan dari orang lain.
Individu yang berusaha mengatasi kelemahan dirinya.
Individu yang seimbang dalam pemikiran, kreatif, analitis dan praktis.


Mungkin ini adalah subjek yang baru bagi sebahagian pembaca, namun ia adalah sesuatu yang telah ditekankan oleh Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Kesabaran menghadapi dugaan, berlapang dada menghadapi masalah, berani menghadapi cabaran, yakin akan pertolongan Allah, bertawakal dan redha atas keputusan Allah, bersyukur atas apa-apa kejayaan, tidak putus asa atas apa-apa kegagalan, rendah diri sesama manusia, toleran untuk sentiasa berjamaah, menghubungkan silaturahim dan sebagainya, semuanya adalah sesuatu yang ditekankan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sesiapa yang memiliki ciri-ciri mulia di atas, dia dikenali sebagai seorang yang berakhlak mulia dan memiliki jiwa yang tenang. Dalam istilah para pengkaji tingkah laku manusia sekarang ini, ia dikenali sebagai memiliki kecerdasan emosi yang tinggi

Monday, December 17, 2007

Wal 'Ashr : Pengurusan Masa Dalam Islam (Dipetik dari Hafiz Firdaus Abdullah)



Wal ‘Ashr: Pengurusan Masa Dalam Islam
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



وَالْعَصْرِ ﴿۱﴾ إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾.


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]



Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:



1. Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.



2. Melaksanakan amal shalih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.



3. Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.



4. Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.


Saya yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat: Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan dalam ayat tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?


Sebenarnya apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.



Melalui tulisan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang bagaimana mengurus masa secara efisyen. Ia amat mudah, hanya terdiri dari lima langkah. Ia amat ringkas, hanya memerlukan lima belas minit dari masa anda. Akan tetapi ia amat penting, penentu sama ada anda menjadi orang yang beruntung atau rugi.

Langkah 1: Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap.



Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda. Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.



Formula di atas tidak dapat diubah atau diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?



Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap inilah yang perlu diubah, dari melakukan banyak perkara kepada melakukan hanya beberapa perkara.



Sebagai contoh, seorang pelajar pusat pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi keterbatasan masa:
1. Belajar jurusan yang diambil.
2. Menyertai sesi latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.
3. Menyertai kelab bahasa Inggeris.
4. Menyertai pasukan sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.
5. Ahli panel rekabentuk grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.
6. Bermain untuk pasukan badminton asrama.
7. Menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.
8. Menganjurkan usrah untuk pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.
9. Menjadi wakil penjual kad tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.




Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan dikurangkan, umpama:
1. Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
2. Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
3. Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
4. Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.



Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan. Bukankah lagi banyak yang dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula. Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.



Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi. Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.


Langkah # 2: Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang Dan Suka Hati.



Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.



Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua, ketiga dan seterusnya.



Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar akan menjadi individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.



Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan duniawi.


Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:



وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ



Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]



Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:



إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ



Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.


Firman Allah yang bermaksud “Beramallah kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu perintah. Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan “amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat, puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang memisahkan antara agama dan dunia.



Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia. Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam kedua-duanya.



Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.”



Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang rambang dan suka hati.




Langkah # 3: Menyedari Bahawa Masa Tidak Menunggu Sesiapa.
Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting, iaitu masa tidak menunggu sesiapa.



Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini. Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:



1. Menyambung tidur selepas solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45 pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya hingga siang hari.
2. Meluangkan masa antara 1 hingga 2 jam membaca surat khabar.
3. Menonton orang lain bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan sebagainya.
4. Beriktikaf di hadapan kaca TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.
5. Keluar makan bersama rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.



Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran, sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini kerana:



إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ



Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27]



Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:



اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا


Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari





Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:




قيلوا فإن الشياطين لا تقيل



Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari



Merujuk kepada surat khabar, anda sudah mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80% dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.



Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ.



Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah



Ada pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa:



اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.



Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku



Walaubagaimana pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.



Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?



Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.



Akhir sekali, makan bersama-sama rakan dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:



فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ



Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillahi Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati.




Oleh itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama adalah pembaziran masa dan pembaziran adalah sunnah……

Langkah # 4: Di Celah-Celah Masa Ada Masa.
Sebenarnya dalam keterbatasan masa yang dihadapi, kita boleh memiliki masa yang lebih. Berikut dikemukakan beberapa tip untuk mencari masa di celah-celah masa:



1. Berani berkata tidak. Apabila orang lain mengajak anda untuk melakukan aktiviti yang sia-sia atau minimum manfaatnya, beranikan diri berkata tidak. Tolaklah ajakan tersebut dengan sopan, umpama: “Tak mengapa silakan, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan.” Atau yang lebih baik: “Tak mengapalah, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan. Hmm! Alang-alang anta ada masa lapang, jom kita siapkan bersama?”



2. Gunakan kaedah temujanji (appointment). Kaedah temujanji bukan hanya untuk orang yang sudah berjaya tetapi juga untuk orang yang ingin berjaya. Apabila ada rakan yang ingin menziarahi anda, tetapkan waktu bermula dan berakhir. Apabila ada mesyuarat persatuan, minta ditetapkan waktu mula dan akhir. Kemudian jangan anda berganjak dari waktu yang dijanjikan. Kaedah ini mungkin kurang selesa bagi rakan atau ahli-ahli persatuan anda, justeru sejak awal berilah penjelasan yang hikmah tentangnya.



3. Manfaatkan bas dan tandas. Dua suasana yang lazim kita lalui tetapi tidak sedar bahawa masa boleh dimanfaatkan di dalamnya. Ketika dalam pengangkutan awam dan tandas, kita sebenarnya memiliki masa untuk membaca, mengkaji dan berfikir. Maka janganlah bazirkannya dengan nyanyian dan khayalan.



4. Do Not Disturb. Peranan tanda Do not disturb please bukan saja untuk digantung pada tombol pintu bilik hotel, tetapi juga untuk digantung pada tombol pintu bilik asrama atau dileher anda. Apabila anda sedang melakukan aktiviti yang penting, cuba elakkan faktor-faktor yang boleh menyebabkan gangguan. Senyapkan talifon bimbit. Tutup pintu bilik asrama. Pastikan rakan perbincangan di perpustakaan adalah mereka yang benar-benar fokus dalam perbincangan.



Ketahuilah bahawa satu gangguan akan merosakkan fokus anda pada kadar dua hingga tiga kali ganda dari tempoh gangguan itu sendiri. Sebagai contoh, anda mungkin mengambil masa 20 saat untuk membaca dan menjawab satu pesanan ringkas (SMS). Akan tetapi anda akan mengambil masa 1 minit untuk mengembalikan fokus kepada apa yang sedang anda lakukan sebelum itu. Kemudian, lazimnya SMS tersebut akan berbalas semula. Oleh kerana itulah dikatakan: A minor interruption will lead to many other interruptions.



1. Cepat bukan jimat. Wujud satu kefahaman, bahawa sesuatu aktiviti yang dilakukan dengan cepat akan menjimatkan masa. Sebenarnya tidak. Ia bahkan membazir masa. Sebabnya:



1. Cepat menyebabkan anda terpaksa menggunakan fikiran pada kadar yang tinggi. Ini menyebabkan ia cepat letih sehingga tidak dapat melakukan aktiviti seterusnya dengan efisyen.



2. Cepat menyebabkan projek yang anda lakukan memiliki banyak kesilapan dan kekurangan. Akhirnya anda terpaksa melakukan semula dari awal untuk menampung kesilapan dan kekurangan tersebut demi mencapai kualiti yang memuaskan.



3. Anda akan mudah marah dan merungut apabila berlaku gangguan yang tidak dijangkakan. Ini kerana gangguan tersebut mempengaruhi kadar kecepatan anda. Namun yang sebenarnya mengganggu ialah sikap anda yang ingin cepat sehingga mudah marah dan merungut. Satu gangguan mungkin mengambil masa 5 minit, tetapi anda akan memerlukan 15 minit untuk kembali tenang dan lapang.



4. Anda mungkin dapat membaca buku dalam masa yang cepat (speed reading). Akan tetapi dalam kecepatan tersebut banyak poin penting yang anda tertinggal atau salah faham. Kemudian apabila ingin membuat kertas kerja, anda gagal mengemukakan maklumat yang bermanfaat dan tepat padahal semuanya sedia terkandung dalam buku-buku yang sudah anda baca sebelum itu. Akhirnya anda terpaksa merujuk semula kepada buku-buku tersebut.
Oleh itu cepat bukanlah jimat. Sikap yang terbaik ialah dipertengahan antara cepat dan lambat. Sikap yang dimaksudkan ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan:



اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.



1. Lakukan pelaburan masa. Pelaburan bererti menggunakan modal yang kecil untuk memperoleh manfaat yang besar di kemudian hari. Pelaburan bukan sahaja berkaitan dengan wang ringgit, tetapi juga masa. Gunakan masa yang sedikit sebagai pelaburan untuk mencapai manfaat masa yang besar di kemudian hari.
Satu contoh mudah, saya yakin para pembaca sekalian lazim menggunakan perisian Microsoft Word untuk menyiapkan kertas kerja kuliah dan sebagainya. Saya juga menggunakannya untuk menulis risalah ini. Pada mulanya saya menggunakan perisian tersebut secara terus tanpa belajar apa-apa tentangnya. “Alaah! Microsoft Word! Siapa yang tak tahu guna?”
Akan tetapi pada satu hari, saya mengambil keputusan untuk belajar tentangnya. Saya membeli buku The Complete Idiot’s Guide To Microsoft Word 97 oleh Daniel T. Babola yang diterbitkan oleh QUE Corporation, tahun 1996.
Saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk mengkajinya. “Wah! Sungguh banyak yang mampu dilakukan oleh perisian ini. Dan semua itu dapat dilakukan dengan amat mudah.” Demikian bisik hati saya. Apa yang saya belajar dalam tiga minggu tersebut, sepuluh tahun yang lalu, dapat saya manfaatkan hingga hari ini. Tiga minggu tersebut merupakan satu pelaburan masa yang benar-benar menguntungkan. Ia, alhamdulillah, membolehkah saya melakukan pelbagai kerja dengan perisian Microsoft Word dan semuanya dapat dilakukan dengan mudah dan kemas.



Tak dapat bayangkan apa yang saya maksudkan? Cubalah anda melaburkan masa membacanya. Carilah edisi yang terkini. Saya yakin kertas kerja kuliah dapat anda siapkan dengan kemas lagi canggih dalam masa sejam berbanding tiga jam sebelumnya.



1. Belanjakan RM untuk masa. Ada satu kata pepatah Inggeris: Time is more valuable than money. Iyya! Masa lebih bernilai dari wang ringgit. Maka gunakanlah wang ringgit untuk memperoleh masa yang lebih. Kertas kerja kuliah anda sekali lagi saya jadikan contoh. Adakah anda terpaksa ke makmal komputer atau cybercafe untuk menaipnya? Banyak masa yang terbuang di sana, dari menunggu giliran sehinggalah kepada petunjuk di skrin yang tidak bergerak searah dengan tetikus.
Sebagai alternatif lain, cuba beli komputer riba sendiri. Anda tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Memadai komputer riba terpakai dengan kelajuan prosesan sederhana. RM1500.00 yang anda belanjakan akan dapat menjimatkan masa anda dalam jumlah yang tidak dapat dihitung.



Menyentuh berkenaan mencari masa di celah-celah masa, saya tidaklah bermaksud agar para pembaca sekalian menggunakan seluruh masa yang ada untuk bekerja keras. Islam tidak menyuruh umatnya menjadi rahib yang hanya beribadah mahu pun robot yang hanya bekerja. Sebaliknya Islam membolehkan agar ibadah dan kerja diselang-seli dengan lawak jenaka, sembang-sembang bersama rakan dan beristirehat. Ringkasnya, setiap sesuatu ada masanya, yang penting hendaklah kita membahagikannya secara adil.



Salah seorang sahabat dan juru tulis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bernama Hanzhalah al-Usaidi radhiallahu 'anh pernah menceritakan: ‘Satu hari saya berjumpa dengan Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu 'anh.” Abu Bakar bertanya: “Kamu apa khabar?”
Hanzalah menjawab: “Saya telah melakukan satu kemunafiqan!”
“Subhanallah! Apa yang kamu cakap ni?”
“Sebentar tadi saya bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengingatkan kami berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Apabila saya berangkat pulang dari sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya bermain-main bersama isteri dan anak-anak serta melakukan beberapa urusan sehingga saya lupa kebanyakan (dari apa yang dipelajari dari Rasulullah sebelum itu).”
“Demi Allah! Saya juga pernah mengalami hal yang sama!” ujar Abu Bakar.
Kemudian Hanzhalah dan Abu Bakar pergi berjumpa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanzhalah berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah menjadi seorang munafiq!”
Rasulullah bertanya: “Kenapa sedemikian?” Lalu Hanzhalah menceritakan apa yang terjadi padanya. Lalu Rasulullah bersabda:



وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ)
“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya, kalau kalian sentiasa dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan kalian sentiasa berzikir, nescaya para malaikat akan menemani kalian di atas tempat tidur dan juga di jalanan. Akan tetapi wahai Hanzhalah, segala sesuatu ada masanya.” (Baginda mengulanginya tiga kali).

Langkah # 5: Carilah Keberkatan Dalam Masa.
Sebelum ini saya ada menerangkan tentang formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di sebalik formula masa dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.


Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama. Bagaimanakah memperoleh atau mencari keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:



Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.



Luangkanlah masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini, ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya.11


Sedekahkan masa.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]



Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.



Antara kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua, melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi mungkar.12 Jika anda menguasai ilmu perbandingan agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.



Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan kepada:
1. Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
2. Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
3. Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
4. Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.



Apabila anda melakukan perkara ketiga dan keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:



وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

GARIS PANDUAN PERLAKSANAAN IBADAH DI INTERNASIONAL SPACE STATION ISS






DAFTAR ISTILAH
a. Ibadah - Ibadah yang dimaksudkan dalam garis panduan ini meliputi
cara beristinja’,menentukan waktu solat, menentukan qiblat, menunaikan solat, menentukan waktu puasa, menguruskan jenazah dan sebagainya.

b. Angkasa - Udara, langit, angkasa lepas bermaksud ruang di luar lapisan udara yang mengelilingi bumi.

c. Al-Maqasid Al-Syariah - Keutamaan syarak dalam menjaga kesucian agama, akal, nyawa, harta dan keturunan.

d. Tayammum - Perbuatan menyapu debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudu’ kerana ketiadaan air atau halangan dalam penggunaan air.

e. Halal - Hukum yang membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), diizinkan, dibenarkan.

f. Aurat - Bahagian tubuh yang wajib ditutup atau tidak boleh kelihatan (menurut hukum Islam).

1. TUJUAN
Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Di International Space Station, ISS (Stesyen Angkasa Antarabangsa) ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk dijadikan rujukan kepada angkasawan Islam berkenaan pelaksanaan ibadah di ISS. Dengan adanya garis panduan
ini, diharapkan angkasawan Islam dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap penyelidikan di angkasa di samping menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam dengan lancar. Selain itu, ia juga memberikan panduan kepentingan penjagaan al-maqasid alsyariah dalam apa jua keadaan.





2. PENGENALAN
2.1 Isu pelaksanaan ibadah di angkasa berbangkit dengan pengumuman kerajaan pada Jun 2003 untuk menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

2.2 Pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh ahli akademik berkenaan isu ini memandangkan berkemungkinan angkasawan yang akan dihantar ke ISS adalah seorang Islam.

2.3 Cara beristinja’, menentukan waktu solat, menentukan qiblat, menunaikan solat, menentukan waktu puasa, menguruskan jenazah dan sebagainya telah membangkitkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat.

2.4 Sehubungan itu, satu Seminar Islam Dan Kehidupan Di Angkasawan telah dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) pada 25-26 April 2006 bagi tujuan mengenalpasti isu pelaksanaan ibadah di angkasa dan ISS menurut perspektif Islam dan seterusnya mencari penyelesaian bagi isu-isu tersebut.


3. PELAKSANAAN IBADAH DI ISS
Pelaksanaan ibadah di ISS merangkumi perkara berikut:
3.1 Cara Beristinja’
Beristinja’ adalah dengan menggunakan tisu yang digunapakai di ISS.
Syarat-syarat beristinja’ seperti berikut:
i. Bahan yang digunakan untuk beristinja’ sesuatu yang suci, bukan najis dan bukan bahan yang
dihormati.
ii. Bahan yang kering.
iii. Bahan yang kesat.
iv. Bahan yang digunakan tidak kurang daripada tiga seperti tiga biji batu.
v. Najis yang keluar belum kering.
vi. Najis yang keluar tidak melewati kawasan laluannya.

3.2 Mengangkat Hadas
i. Mengangkat Hadas Kecil
Mengangkat hadas kecil adalah dengan bertayammum secara menepuk ISS seperti dinding, cermin dan sebagainya (walaupun tiada debu).
ii. Mengangkat Hadas Besar
Mengangkat hadas besar adalah dengan cara yang sama di para 3.2.1
3.3 Penentuan Qiblat
Penentuan qiblat adalah mengikut kemampuan berdasarkan urutan berikut:
i. Kaabah
ii. Unjuran Kaabah
iii. Bumi
iv. Mana-mana arah.

3.4 Penentuan Waktu Solat
Lima waktu solat dalam tempoh 24 jam (1 hari di bumi) menggunapakai waktu solat tempat berlepas1 angkasawan.


3.5 Cara Menunaikan Solat
i. Solat boleh ditunaikan secara jama’ dan qasar dan tidak perlu diqada’.
ii. Pelaksanaan rukun fi’li (perbuatan) solat adalah dengan mengikat diri angkasawan mengikut kesesuaian keadaan di ISS berdasarkan urutan berikut:
a. Jika tidak berupaya berdiri tegak, hendaklah berdiri secara membongkok.
b. Jika tidak berupaya berdiri, hendaklah secara duduk. Seseorang boleh melakukan ruku’ dengan dahinya setentang lutut atau yang lebih utama setentang dengan tempat sujud.
c. Jika tidak berupaya duduk, hendaklah secara berbaring mengiring di atas lambung kanan dan bahagian tubuh menghadap qiblat.
d. Jika tidak berupaya baring, hendaklah secara menelentang.
e. Jika tidak berupaya menelentang, hendaklah secara isyarat mata bagi setiap pergerakan solat.
f. Jika tidak berupaya juga, hendaklah dengan hati iaitu menggambarkan dirinya berdiri, ruku’, sujud dan seterusnya.

iii. Pelaksanaan rukun qawli (perkataan) solat adalah sama
seperti di bumi.


3.6 Cara Menunaikan Puasa
i. Puasa boleh ditunaikan samada di ISS atau di bumi secara qada’ sekiranya melibatkan bulan Ramadhan.
ii. Penentuan waktu puasa adalah menggunapakai waktu puasa tempat berlepas angkasawan.
1 Dengan penyesuaian untuk kawasan melebihi latitud 45º Utara mengikut
buku Kaedah Panduan Falak Syarie terbitan JAKIM.

3.7 Pengurusan Jenazah
i. Jenazah perlu dibawa balik ke bumi untuk pengurusan seperti biasa.
ii. Sekiranya jenazah tidak boleh dibawa balik, maka diharuskan menyemadikannya di angkasa
dengan pengurusan jenazah secara yang ringkas.




4. HAL-HAL BERKAITAN

4.1 Pemakanan
Sekiranya makanan yang disediakan diragui halal, maka diharuskan memakannya sekadar mengalas lapar.

4.2 Etika Berpakaian
i. Angkasawan Islam perlu menjaga batasan auratnya iaitu:
a. Aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut.
b. Aurat perempuan adalah selain muka dan dua tapak
tangan.

4.3 Etika Bermusafir
i. Perjalanan ke angkasa merupakan satu musafir yang diharuskan mengikut Islam.
ii. Angkasawan perlu menghormati etika bermusafir iaitu:
a. Menjaga kelangsungan hubungan dengan Tuhan.
b. Menjaga keharmonian hubungan sesama makhluk.
c. Menjaga kelestarian alam sekitar.




Sunday, December 16, 2007

BaCa Jeeee


Mesti korang terkejutkan..neway, just bace dulu n evaluate it later...Allah sahaja yang tahu kebenarannya.Bukti kebenaran Al Quran. Fenomena ini telah disebut dalam Quran 1400 tahun dahulu dan 1999/2000 tahun gambar itu diambil oleh NASA.]


a) Mengikut hadith umat Rasulullah akan hidup selama 1500 tahun sekarang sudah 1439 =426 + 13 tahun hijrah daripada ini kita ketahui kita akan bertahan dalam masa 61 tahun lagi.. Jikalau ini benar, bumi akan kiamat pada tahun 2066


b) Saintis telah menjumpai sebuah planet yang lebih kecil daripada bumi yang menghala ke bumi.. Ia telah dianggarkan bahawa planet itu akan melanggar bumi pada tahun 2014. Amerika akan cuba untuk menukarkan orbitnya dengan menembaknya dengan sebuah roket Dan saintis juga telah menjumpai sebuah planet yang juga akan menghentam bumi Ia dianggarkan akan melanggar bumi dalam masa 60 tahun lagi.. Dan planet ini lebih besar daripada bumi Jikalau ini benar, dunia akan musnah pada tahun 2065.


c) Dan dikatakan kuasa Israel akan mencapai puncaknya pada tahun 2007 Dan kuasanya akan jatuh semula dalam 14 tahun, iaitu tahun 2022, disebabkan oleh penurunan semula Nabi Isa . Dan hadith mengatakan bahawa Nabi Isa hanya akan hidup selama 40 tahun dan dunia akan kiamat pada hari Nabi Isa wafat.. Jikalau ini benar dunia akan kiamat pada tahun 2062 Dianggarkan Bumi Akan Kiamat Antara Tahun 2062-2066 WallahualamSemua ini telah dikaji Dan yang dipercayai paling tepat ialah hadith yang mengatakan bahawa umat Rasulullah akan bertahan selama 1500 tahun Kita telah berada di bumi ini selama 1439 tahun Cubalah anda kirakan sendiri


Beribadatlah wahai umat Islam sekalian Ini adalah antara berpuluh-puluh artikel di internet yg seperti ini. Dan jangan tunggu artikel seperti ini dikeluarkan baru kita nak buat amal. Benda ni dah diajar sejak kita kecil lagi. Kiamat pasti tiba. hanya orang yang leka dengan dunia shj yang akan rugi. berhibur tidak salah tapi jangan lupa apa yang disuruh oleh Allah. Patuhi suruhan Allah dan tinggalkan yang mungkar. dan korang jangan risaula..aman dunia akhirat..sama-sama kita doakan kesejahteraan untuk semua umat Islam.

7 AyAt CiNtA


1. Bismillahhirrahmannirrahim: padatiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Alhamdulillah: pada tiap-tiap habismelakukan sesuatu.

3. Astagfirrullah: jika tersilapmengatakan sesuatu yang buruk.

4. Insyaallah: jika ingin melakukansesuatu pada masa akan datang.

5. Lahaulawalaquataillahbillah: bilatidak dapat melakukan sesuatu yang agakberat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. Innalillah: jika menghadapi musibahatau melihat kematian.

7. Laailaahaillallah: bacalah sepanjangsiang dan malam sebanyak-banyaknya.amalkanlah selalu moga-mogakita tergolong dikalangan orang yangterpilih oleh Allah.

KaSiH sAyAnG


Seorang anak mendapatkan ibunya yangsedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya. Kos upah membantu ibu:


1)Tolong pergi kedai : RM4.00
2)Tolong jaga adik : RM4.00
3)Tolong buang sampah : RM1.00
4)Tolong kemas bilik : RM2.00
5)Tolong siram bunga : RM3.00
6)Tolong sapu sampah : RM3.00

Jumlah : RM17.00


Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar di mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.


1)Kos mengandungkanmu selama 9 bulan PERCUMA
2)Kos berjaga malam kerana menjagamu -PERCUMA
3)Kos air mata yang menitis keranamu -PERCUMA
4)Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu -PERCUMA
5)Kos menyediakan makan minum, pakaian,dan keperluanmu-PERCUMA

Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku -PERCUMA


Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada muka surat yang sama ditulisnya.
 

Sample text

Sample Text

Sample Text